Wednesday, August 26, 2009

neo klasikisme..

Neo Klasikisme adalah sebuah gaya seni yang merupakan sebuah reaksi kepada gaya seni Rokoko. Gaya seni Rokoko (Rococo) yang bersifat berlebih-lebih atau terlalu melankolik telah mula kurang diminati atau pudar pada sekitar penghujung abad ke 18. Gaya seni Neo Klasik telah mula menjadi gaya seni utama khususnya di Peranchis pada sekitar penghujung abad ke 18. Gaya seni ini yang amat menekankan sifat atau karekteristik seni klasik iaitu seni roman dang reek telah mula diangkat sebagai mewakili seni terbaik. Keadaan ini berlaku khususnya apabila kesan peninggalan seni klasik tersebut telah ditemui semula melalui kerja penelitian dan ekskavasi di kawasan Herculaneum dan Pompeii. Selain itu minat dan penumpuan kepada seni klasik pada zaman itu juga telah menjelma semula apabila sebuah buku karangan pensejarah seni dan sarjana Johann Winckelmann bertajuk Thoughts on the Imitation of Greek Works of Art telah terbit pada tahun 1755. Dari segi sejarahnya, tahap pertama perkembangan seni neo klasik di Peranchis mula berputik apabila semakin ramai pelajar seni dari Peranchis telah mendalami pengajaian seni di rome, Itali dan mula membawa pulang serta menerapkan prinsip seni roman dan greek dalam karya mereka. Tahap kedua perkembangan gaya seni ini di Peranchis pula mula berkembang apabila kerajaan peranchis dibawah pimpinan Napoleon Bonarpate telah mengiktiraf seni ini sebagai pengucapan yang baik untuk individu dan Negara.

Karya-karya yang seni Neo Klasik juga tercipta hasil pengaruh pelukis sejarah klasik iaitu Nicolas Poussin. Dalam konteks ini sifat atau ciri karya-karya Neo Klasik telah menggunakan semula aturan, prinsip dan tatacara seni klasik roman dang reek dalam mencipta karya. Secara umum karya-karya seni Neo Klasik bersifat serius, hampir tidak beremosi dan menjulang sifat kepahlawanan. Subjek atau tema-tema karya Neo Klasik biasanya terangkat dari cerita, kisah sastera dan sejarah klasik, sama seperti yang digunakan dalam karya seni greek terawal dan seni roman. Jika diteliti karya-karya seni Neo Klasik telah menggunakan warna-warna yang balam dan tidak berketepuan cerah. Namun tempat-tempat tertentu dalam catannya akan dicerahkan dengan gemilang seolah-olah sebuah atau beberapa lampu limpah telah disorot pada kawasan tertentu. Keadaan ini seolah-olah satu penegasan kepada subjek, tema atau peristiwa tertentu yang disorot pada catan itu, yang biasanya mengandung moral atau kebaikan yang harus diinsafi dan difikirkan oleh masyarakat. Moral khusus yang biasanya terlihat pada peristiwa atau subjek pada catan itu adalah berkenaan sifat atau sikap tidak mementingkan diri sendiri, menjulang kebenaran, pengorbanan tinggi individu kepada Negara dan kebenaran. Keadaan atau sifat-sifat ini amat dititik beratkan dalam tradisi pemikiran dan masyarakat greek serta roman. Maka dalam konteks ini kebanggaan dan kemegahan kepada unsure etika yang tinggi adalah selaras dengan sikap yang bersifat antikuiti. Gaya ini juga dengan jelas mengetepikan sifat berlebih-lebihan seni Rokoko atau seni Barok yang terlalu bersifat teaterikal dan dramatik.

Sifat seni Neo klasik juga adalah berkeinginan untuk mencari semula ‘keaslian’ seni roman atau juga bentuk-bentuk seni ‘ideal’ greek. Apabila bercakap mengenai kevcerahan tertentu dalam catan-catan neo klasik maka kita sebenarnya bercakap mengenai satu teknik yang dipanggil Chiaroscuro. Seperti yang telah diterangkan tadi teknik ini seoalah-olah sebagai satu sorotan khusus secara amat kontras kepada subjek, watak atau suasana yang ingin diberi perhatian oleh seniman. Suasana atau subjek lain yang berada diluar limpahan lampu itu seakan-akan kelihatan balam, suram dan hampir gelap.

Diantara seniman-seniman penting bagi gaya seni Neo klasik adalah Jaques Louis David, Anton Raphael Mengs, Jean Aguste Dominique Ingres dalam bidang catan. Sementara Antonio Canova pula dalam bidang arca. Gerakan dan gaya Neo Klasik akhirnya secara perlahan-lahan mula berkubur pada awal abad ke 19 akibat timbul gaya dan gerakan seni Romantisisme yang lebih dilihat berkesan selain dokongan politik yang semakin kurang diterima berbanding sebelumnya. Dalam konteks ini sebenarnya kekuatan atau sebab kepada berkembangnya gaya seni ini adalah akibat dari dokongan yang amat kuat oleh Napoleon Bonarparte selaku ketua Negara peranchis yang melihat gaya seni klasik ini sebagai gaya seni rasmi kerajaannya, sehinggakan pada satu tahap seni ini dianggap sebagai seni politik bagi kerajaan Napoleon.

0 comments: